16/02/2013

"KERANA SABAR AKU DI SINI"


“Kau cakap senanglah Zarith, kau tak kena apa yang aku kena!”, Bentaknya.

Merah padam mukanya menahan marah. Aku sendiri sebagai sahabat rapatnya belum pernah melihat amarah dia yang sebegini, dia bukan  Wali yang selalu tersenyum dan bergelak ketawa dalam segala hal, kebiasaannya dialah yang  selalu didatangi sahabat, tempat mengadu, kerana dialah yang paling positif diantara kami.

“Aku faham Wali, aku faham apa yang kau rasakan sekarang ni”, pujukku.

Aku cukup faham akan masalah yang dihadapi oleh sahabat aku yang seorang ini, hatinya terluka, hatinya sakit mengenangkan apa yang telah terjadi pada dia. Jika aku di tempat dia, aku juga tidak tahu apa yang akan aku lakukan.

Tapi, tugas aku kali ini adalah untuk mempositifkan dia, bukan menambahkan lagi kemarahan dia. Harus aku cuba sedaya upaya membawa lari dirinya dari kemelut masalah ini.

“Dia ada di saat aku hampa dan tak terdaya dulu, tak kan sekarang ni aku nak tinggalkan dia, saat dia perlukan seseorang untuk mengadu”, gumamku.

Mengingatkan pada keadaan aku dahulu, dialah yang cukup setia dengan aku. Apa yang aku hadapi dulu boleh dikatakn tidak ringan, hingga aku tidak boleh fokus pada kuliah aku ketika itu, tapi dia yang banyak membantu, menasihatkan aku dalam segala hal, hinggakan kuliah yang aku tidak hadir, dia juga yang menduakan semua nota bagiku. Cukup aku terkesan akan cara dia bersahabat.

“Macam mana aku tak marah, dia mainkan aku macam tu jer! Dia ingat aku tak da hati ker? Ingat aku patung? Paling tak, dia boleh jujur dengan aku yang dia ada orang lain, tak perlu buat aku ternanti- nanti macam orang dungu!”

“Zarith, kau ada dengan aku kebanyakkan masa bukan? Kau pernah lihat aku main mesej dengan perempuan lain? Bertelefon sana- sini? Keluar dengan perempuan itu, perempuan ini? Pernah?!" tambahnya lagi.

Aku biarkan dia melepaskan semua yang terbuku dihatinya terlebih dahulu, biarkan dia lunaskan segalanya. Sedaya upaya telinga aku memasang sepenuhnya perhatian pada apa yang ingin dia luahkan. Menangkan hati seseorang terlebih dahulu, ini yang selalu aku amalkan.

“Memang aku dah syak, dia ada orang lain, aku pernah tanya pada dia dulu, tapi dia tak pernah nak jujur Zarith, kau nak aku jadi baik macam mana lagi Zarith? Kau cakap! Tak baik ker aku ni?” menunjukkan bengangnya yang teramat.

Diam seketika, aku sendiri tersentuh dengan apa yang dia rasa sekarang ini, Wali ni bukanlah seperti lelaki kebanyakkan, cukup setia walaupun ramai perempuan yang datang padanya. Dia betul- betul harapkan perempuan itu menjadi isterinya, hinggakan dia sanggup kerja siang dan malam, mengumpulkan duit semata- mata untuk berkahwin dengan segera dengan perempuan pilihan hatinya itu. Kini harapannya hancur, lebur begitu sahaja.

“Wali, ingat tak pesan kau pada diri aku ketika aku ada masalah dahulu?” memulakan giliran aku berbicara.

“Pernah kau ingatkan aku Wali, bahawa sabar itu bukanlah di tengah, mahupun diakhir sesuatu ujian itu, tapi diawalnya ujian tersebut. Andai seseorang itu menerima ujian, dia terus memaki hamun, dan mengeluh lalu kemudiannya  dia beristighfar akan keterlanjuranya itu, maka dia sebenarnya bukanlah orang yang penyabar, kerana seharusnya orang yang bersabar itu, pada awal ujian yang diterima olehnya, dia terus beristighfar dan ingat akan Allah tanpa melatahkan sebarang marahnya baik dalam bentuk hati,lisan dan perasaan. Inilah sabar yang mutlak”, mengulang kembali apa yang pernah dia perkatakan dahulu.

“Zarith, aku ini manusia Zarith”, balasnya perlahan dengan mata yang mulai berkaca.

Bukan main- main lukanya hati si Wali ni, seorang perempuan mampu merubah seorang yang periang menjadi muram sebegini. Betul kata sajak yang pernah aku dengar dahulu, ‘cinta itu mampu mengubah arak menjadi cuka’.

“Sudah menjadi cuka sahabatku ini, parah, hurmm”, gumamku sendiri.

“Jadi aku bukan manusia? Begitu?”

“Kau manusia, tapi kau tak punya hati, hehe”, senda Wali.

Paling tidak dia mampu gelak, tak banyak, sedikit.

“Banyaklah kau! Haha”.

“Antara semua pujukan kau dahulu, yang paling membekas dihatiku adalah pesan kau mengenai Rasulullah s.a.w. ‘Selalulah kita bandingkan ujian yang sedang kita hadapi ini dengan ujian yang Baginda Muhammad s.a.w. hadapi, ini yang kau perkatakan sewaktu aku bermasalah dahulu”, mengingatkan dia kembali.

Harus aku ungkap akan sirah Rasulullah, menghidupkan kisah Rasulullah dalam dirinya.

“Bagi kes kau ni, kau bayangkan kesedihan yang dihadapi oleh Baginda Muhammad s.a.w. sewaktu kematian isteri tercintanya, yang begitu setia padanya dalam apa jua keadaan, yang banyak membantu Baginda dalam memperjuangkan Islam, betapa murungnya hati Muhammad s.a.w. atas pemergian isteri tercintanya Saidatina Khodijah”.

“aku tahu akan ‘sirah’ itu, tapi dia itu Rasulullah, aku hanya manusia biasa, malah Allah memujuk baginda lagi”. Jawabnya.

Pengetahuannya memudahkan aku untuk bercerita lanjut. Tak perlu aku menghabiskan masa dalam menerangkan satu- persatu kepadanya.

“Kau hanya tahu akan sirah itu, tapi tidak mengambil pengajaran darinya! Kerana dia Rasulullahlah kita perlu menjadikan dia itu contoh yang terbaik buat kita. Bayangkan dia kehilangan seorang ‘isteri’ dan kau hanyalah kehilangan seorang perempuan yang belum tentu menjadi isteri kau, hanya seorang perempuan yang hanya lebih sedikit berbanding perempuan kebayakkan yang lain dan bukanlah seistimewa sebagai seorang isteri! Ini yang membuatkan kau berduka cita? Bermuram durja?” kali ini aku sedikit tegas.

“Dan seharusnya kau yakin akan datang pujukan Allah untuk kau pula!” tambahku lagi.

Meluas bola matanya, menampakkan genangan air matanya, seakan terkena tamparan akan kata- kata aku, penegasan aku ternyata menarik hatinya yang sedang terluka itu. Dia terdiam.

“Wali, kau lupa bukan, kau lupa akan pesan kau kepada aku, ‘tanpa kesabaran, Islam sudah tentu tidak akan sampai kepada kita’, ini yang kau selalu sebut  dahulu. Andai Rasulullah tidak punya kesabaran, andai sahaja Baginda putus asa setelah dicemuh, dibaling batu, dibaling najis kepada beliau, dikencam untuk dibunuh, kau rasa bagaimana? Kita akan miliki Islam seperti yang kita punya sekarang? Boleh sahaja Rasulullah s.a.w.berputus asa, tidak perlu pergi berperang , bermandikan darah, menghunus pedang di padang pasir yang panas, dan biarkan sahaja Islam itu terkubur, boleh sahaja Baginda buat begitu, tapi itu bukanlah sifat Baginda, kesabaran Baginda atas apa sahaja ujian yang dihadapinya itu dan sabar atas sifat umatnya dahulu  yang membuatkan Islam sampai kepada kita saat ini”.

"Dan dengan sabar inilah, akan datang jodoh yanng terbaik untuk kamu Wali". 

“Allah, aku khilaf akhi, aku terlalu jatuh cinta pada manusia! Aku khilaf akhi”. Kali ini air matanya terus mengalir.

“Wali, apa yang aku katakan ini, semuanya dari kau sebenarnya, semuanya dari pesan- pesan kau yang lalu pada diriku, aku hanya mengingatkan kau kembali apa yang telah kau perkatakan, maafkan aku andai kau terasa”.

“JazakAllah akhi”, sambil mengesat air mata.

*******************************************************************************
# "manusia itu kebiasaanya diuji dengan dua perkara, apa yang diperkatakan olehnya dan orang yang disayangi olehnya" Ustaz Pahrol

# "yaAllah, jangan kau letakkan dunia dihatiku, tapi letakkanlah dunia ditanganku agar dapat aku mengubahnya" Kang Abik Habiburrahman






No comments:

Post a Comment