23/02/2013

"NILAI KASIHMU"




“Man, abah nak tanya ni, macam mana nak buat soal hajat?” soal Abah dengan wajah yang agak resah.

Pertanyaan Abah mengubah riak wajahku, soalan abah yang agak pelik itu menimbulkan pelbagai soalan di dalam fikiranku, dan hati ini lebih tertanya- tanya akan tujuan solat hajat itu, tapi ku tangguhkan.

“Ada baiknya aku jawab soalan abah terlebih dahulu, kemudian baru aku tanya akan tujuannya solat hajat ini”, nasihat si hati.

“Solat hajat mudah Abah, seperti solat sunnat yang biasa, dua rakaat satu salam, surahnya pula adalah al-Fatihah dan surah al-Kafirun pada rakaat pertama , bagi rakaat yang kedua pula al-fatihah dan surah Al- Ikhlas, kemudian di sujud yang terakhir sebelum salam tu, mintalah hajat di dalam hati, kemudian tahiyyat dan salam dan doa, doa akan hajat kita itu sekali lagi, senang je abah”, jawabku seringkas mungkin dengan erti kata lain supaya Abah mudah faham cara melakukannya.

“Tapi, atas niat apa Abah?,” aku suarakan terus apa yang terbuku dihati.

“Abah ingat nak buat solat hajat, buat untuk diri sendiri, supaya kesihatan abah sentiasa elok, anak- anak abah nak belajar lagi, kalau abah sakit- sakit nanti, macam mana abah nak cari duit, nak bagi duit pada korang nanti”.

Aku terdiam, kali ini benar- benar aku terdiam, diam yang bukan aku sengajakan. Di hadapanku kini seorang ayah, ayah yang banyak berkorban demi aku sejak kecil lagi. Seorang ayah yang menyuarakan perasaan dan niat murninya kepada anaknya, hasrat hanya ingin sihat sentiasa demi anak- anaknya, apa reaksi yang harus aku berikan? apa yang harus aku rasa?

 Aku anak mak, sememangnya aku lebih rapat dengan Mak berbanding  Abah. Kebanyakkan perkara akan ku datangi mak terlebih dahulu berbanding abah, tapi tidak bermakna aku mengetepikan Abah dalam sebarang hal, kerana Abah tetaplah ketua keluarga, ‘head of the family’ tapi maklah sebagai orang tengahnya. Tidaklah pula abah mengetepikan aku dalam sebarang perkara, tidaklah pula Abah mengetepikan segala kemahuan aku.

Mengingatkan kembali apa yang Abah buat untuk aku sebagai anak, pernah sekali sewaktu aku dan Mak dihari terakhir kami berpuasa enam, rancangan aku dan Mak adalah untuk ‘berhari raya’ sekali lagi bagi puasa enam kami yang akan selesai ini.

“Mak, apa kata kita buat lemang jagung?” cadangku pada Mak.

“Lemang? Jagung lagi? Macam mana nak cari masa sekarang ni Man?”, jawab Mak.

Mungkin juga agak susah, maklumlah ini adalah minggu akhir bulan Syawal, kebiasaannya sudah tiada lagi orang menjual buluh lemang, jagung pula nak tak nak kenalah dibeli di tempat lain, mungkin pekan yang terdekat ada, itu pun kalau bernasib baik adalah jagung tu nanti, jika tidak, haruslah ke pekan yang lebih jauh di hadapan. Terpaksa aku meneguk air liur membayangkan makanan kegemaran aku yang agak mustahil aku dapatkan itu.

“Ek? Tak ada ker Mak? Hurmm, tak palah kalau macam tu”, balasku tanpa sedikit pun terasa, kerana aku tahu andai mudah pasti Mak akan masakkan untuk aku.

Seawal pagi esoknya aku kehairanan bila melihat mak mengambil daun pisang diluar. Melihat di bucu dinding telah siap buluh- buluh lemang dibasuh dan jagung juga sudah pun siap diasingkan.

“Mak, mana dapat Mak?” soalku dengan perasaan yang bercampur hairan dan terliur.

“Abah Man”, jawab Mak singkat.

Allah, rupanya Abah yang sedang baring diruang tamu semalam memasang telinga akan perbualan anak dan maknya. Abah yang ku sangkakan tidur itu pada petangnya masuk ke hutan semata- mata untuk mencari bulu lemang, dan jagung pula, abah bernasib baik kerana pekan terdekat masih ada menjual jagung, tidak perlu Abah pergi jauh. Ini Abah, sedaya upaya memakbulkan apa sahaja permintaan anaknya semampu dirinya.

“Nanti kalau Mak tanya, cakap Abah keluar sekejap, nak jumpa pakcik Rashid kamu” pesan Abah sambil berlalu turun.

Ingatan aku termati disitu, mata yang berkaca tadi terus deras mengalir. Agak lama ditahan, kerana tidak mahu menangis di hadapan Abah, masih tinggi egoku sebagai anak, ego aku dengan Allah pula bagaimana?

"Abah! Kamilah saham buat Abah dan Mak!", tegasku di dalam hati, dan esakku masih tidak berhenti.

“Ya Allah, ampunilah dosa- dosaku serta dosa kedua ibu- bapaku dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di masa kecil”, pintaku.

Segera ku sapu air mataku, TV dimatikan, terus aku berlari meniti tangga bagi melihat ibuku yang berada di bawah pula.

*******************************************************************************

#“ya Allah, gusarnya aku andai doa- doaku buat kedua ibu- bapaku tidak didengari olehmu, gusarnya aku andai kederhakaan yang aku lakukan padaMu, mereka yang menerima balasannya, ya Allah aku ini anak, aku ini hamba, aku ini jugalah harapanMU dan Engkau jualah sebesar- besar harapanku”

No comments:

Post a Comment